Tuesday, March 30, 2010

SEJARAH SEKOLAH

Pada peringkat awal penubuhan, sekolah agama ini hanya menumpang di sekolah Kebangsaan Sedili Besar. Walaubagaimanapun pada 15 Julai 1984, pihak sekolah terpaksa berpindah daripada bangunan tersebut kerana sebahagian daripada bangunan lamanya perlu dirobohkan untuk digantikan dengan bangunan baru. Untuk itu, murid-murid sekolah agama ini telah ditempatkan di dua tempat yang berasingan iaitu di Balai Masjid Jamek sedili besar bagi 100 orang murid sesi pagi dan di Dewan Orang ramai sedili Besar bagi 250 orang murid sesi pagi.

Pada 1 Januari 1985, semua murid telah dipindahkan ke Balai Masjid Jamek Sedili Besar yang merupakan balai memasak yang telah diubahsuai dengan kos sebanyak RM 2500.00. Perpindahan ini berlaku kerana murid-murid sekolah kebangsaan juga terpaksa ditempatkan di dewan tersebut sementara menunggu bangunan baru disiapkan.

Malangnya pada 8 Ogos 1985, ribut telah melanda Sedili Besar dan turut memusnahkan penempatan sementara murid-murid, Justeru itu kerja-kerja baik pulih terpaksa dilakukan dengan kutipan wang derma kilat daripada penduduk setempat. Ekoran daripada peristiwa itu, pihak sekolah telah merayu kepada pihak yang berkenaan agar pembinaan sekolah agama dipercepatkan.

Akhirnya penantian penduduk berakhir pada 20 Mac 1988, apabila bangunan baru Sekolah agama ini telah dapat digunakan walaupun pembinaannya belum 100 peratus siap. Dengan ketiadaan bekalan elektrik dan air, murid-murid ditempatkan di sekolah ini. Seterusnya tanggal 17 Ogos 1988, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor dengan rasminya telah menyerahkan bangunan ini kepada Jabatan Agama Johor.

Dengan ini, tercapailah impian penduduk –penduduk Sedili Besar untuk melihat anak-anak mereka mendapat didikan agama ditempat yang lebih selesa.

No comments:

Post a Comment